Korang ingat novel Nalar cerita seram?

Korang ingat ni buku seram ke? 

Ni fiksyen sains-thriller ringan ^_^

Fella, anak kecil empat tahun yang diimplan cip berkomputer ke dalam otaknya. Sekaligus menjadikan dia kanak-kanak genius yang melampaui batas kebolehan manusia. 

Dia yang dilarikan oleh Dr. Imanina jauh ke dalam hutan, terselamat daripada turut menjadi mangsa dalam satu insiden yang meragut nyawa Prof. Farhan dan Prof Imanina, ibu bapa Fella. Cip yang dicipta khas bagi tujuan ketenteraan itu menjadi buruan Ghaffar, penjenayah antarabangsa yang tidak pernah berhenti daripada terus menjejaki cip itu walau dengan apa cara sekalipun.

Bagi mengaburi mata musuh, Imanina membesarkan Fella sebagai lelaki. Nama Nur Fella ditukar menjadi Mohd Feldrick. Imanina yang gusar melihat perkembangan intelek Fella mula menjalankan kajian. Dia mahu mengeluarkan cip tersebut dari otak anak kecil itu. Namun, hasil kajian mendapati cip itu akan meletup sekiranya dikeluarkan. Fella yang mendapat tahu dia akan diserahkan kepada pihak tentera mula melarikan diri jauh ke dalam hutan dan menyahaktifkan sistem keselamatan rumah mereka tanpa memikirkan akibat yang akan menimpa.

Jangan fikir apa-apq, terus order dengan Cik SO :p

Cuba korang baca, apa kata bloggers tentang novel Nalar

APA KATA BLOGGERS TENTANG NOVEL NALAR?


Assalamualaikum..

Hye semua..

"Biar dia rasa, harga sebuah dosa."

Cerita mengenai cip yang sangat ohsem..

Ditanam dalam kepala seorang budak..

Memang gempaklah bila budak umur 4 tahun tahu banyak perkara..

Tapi orang jahat ada je..

Memang menarik sebab hampir 75% mengenai budak umur 4 tahun..

25% lagi baru cerita bila budak tu dah besar.. Menarik tau..

Cerita yang sangat ohsem..

Baca dan selesai pada 19.04.2017


“NOTE: This post will be in Bahasa Melayu.”

Bismillahirrohmanirrohim, Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi maha Penyayang.

Assalamualaikum, pembaca semua. Seperti yang terpapar sebagai tajuk entri, hari ini Diha akan review novel Nalar, karya yang ditulis oleh Sharina Elisa.

Luarannya, novel Nalar ini kelihatan seperti sebuah novel dengan kandungan cerita yang berat. Lebih-lebih lagi kulit buku yang mempamerkan aura misteri dan ditambah lagi dengan tagline ‘Biar dia rasa harga sebuah dosa’ yang membuatkan Diha begitu tertarik untuk memulakan pembacaan.

Sejujurnya, Diha ambil masa selama lebih kurang 30-45 minit sahaja untuk menghabiskan pembacaan Nalar, iaitu ketika Diha menaiki tren dari stesen Shah Alam ke stesen Putra. Bukan kerana cerita yang disampaikan itu terlalu pendek tetapi sebaik sahaja Diha tamatkan satu muka surat, Diha tak boleh berhenti dari menyelak ke muka surat seterusnya. Sudah habis baca satu bab memang tidak boleh berhenti dari beralih ke bab seterusnya.

Boleh dikatakan, Diha jadi ketagih untuk cepat menamatkan cerita kerana tidak sabar mahu tahu apa yang terjadi di hujungnya. Sangkaan Diha benar-benar meleset kerana kandungan novel Nalar ini sangat ringan tidak seperti yang dipamerkan pada kulitnya. Benarlah kata pepatah, Don’t judge a book by its cover.

Bahasa yang digunakan juga sangat mudah. Jalan cerita dan plot tidak memeningkan. Setiap bab tidak dibazirkan. Nalar sangat padat dengan adegan yang tidak mengkhayalkan dan mengandungi begitu banyak pengajaran. Setiap kejadian yang terjadi dalam Nalar terselit pengajaran yang tersirat dan tersurat. Diha sangat yakin novel Nalar bukan sahaja bagus untuk pembaca dewasa tetapi juga sebagai bacaan santai untuk pembaca remaja mahupun yang berusia lebih muda lagi.

Diha tabik penulisnya, Sharina Elisa, yang berjaya membuat Diha jatuh cinta pada sebuah novel bergenre thriller ringan. Buat penulis, teruskan usaha anda untuk menghasilkan lebih banyak karya sebegini. Anda juga berjaya menghasilkan karya yang meskipun bahasa yang digunakan dan jalan cerita yang diketengahkan agak ringkas tetapi penyampaian anda tidak mengecewakan.Tidak puas rasanya Diha baca novel ini. Lepas ini boleh anda hasilkan karya di bawah genre ini lagi.

Sesungguhnya, Diha agak tidak berpuas hati soal penamat Ghaffar yang Diha rasakan tidak adil untuk Fella dan Fathul yang sudah bersusah-payah selama ini. Meskipun sudah tiba di muka surat akhir novel Nalar, Diha masih lagi mengharapkan Ghaffar menerima balasan yang lebih setimpal. Walaubagaimanapun, Diha tetap gembira dengan perjalanan, perkembangan dan kesimpulan buat watak Fella dan Fathul. Watak sokongan lain juga memainkan peranan tersendiri dalam usaha penulis menyampaikan Nalar.

Untuk tahu apa sebenarnya yang Diha maksudkan, boleh dapatkan novel Nalar yang ditulis oleh Sharina Elisa di website www.bukuso.com dengan harga RM23 (semenanjung)/RM26 (Sabah/Sarawak). Jangan susah hati, novel Nalar juga boleh didapati di kedai-kedai buku berhampiran anda.

Ini memang rekomendasi Diha sendiri jadi jangan tunggu lagi dan dapatkan novel Nalar sekarang! Anda tidak akan hampa.

Sekian review dari Diha hari ini. Terima kasih sudi membaca dan jangan lupa lawat website yang Diha sudah letakkan bersama entri ini. Di bawah adalah gambar buku Nalar yang sudah berjaya menjadi salah satu koleksi buku terbitan SO Publishing yang Diha miliki.

Assalamualaikum.

#bukuso #dahbacakebelum


Seperti biasa salah satu hobi saya ialah browse website publisher buku. Mencari sekiranya ada buku baru yang mampu menarik tangan untuk klik button 'BUY'. Hati tergerak nak buka website bukuso.com lepas nampak promosi kombo kat instagram diorang. 3 buah buku RM70 free postage....murah tu. heheheheh.

Scroll punya scroll ternampak lah buku ini - NALAR "Biar dia rasa, harga sebuah dosa". Uh....sentap ayat ni. Cerita misteri ke? Seram ke? Cover buku dah warna gelap, hitam, nampak bayang 2 orang dalam kegelapan. Cover buku ini macam ada ala - ala buku novel thriller english sikit, ada pagar kayu yang dah hampir reput. Satu persoalan timbul, ke mana hala tuju lorong gelap ini???
Buku nukilan Sharina Elisa dan diterbitkan oleh SO Publishing ini mengandungi 268 muka surat. Saya pertama kali baca karya penulis ini. Kenapa tajuk buku ni NALAR? Korang tahu apa maksud NALAR?

Bila sebut kisah berkaitan high-tech IT, secara automatik kita akan terbayang cerita seperti RoboCop, The Machines, Iron Man. Filem-filem ini berkisar tentang bagaimana teknologi telah berjaya mencipta sesuatu yang hebat dan menjadi rebutan pelbagai pihak. Sedikit sebanyak sebelum saya mula membaca, bayangan kisah sebegini telah berada dalam fikiran. Expectation saya agak tinggi pada buku ini.

Buku ini saya habis baca dalam masa lebih kurang 4 jam. Penggunaan bahasa yang mudah dan santai membantu pembaca memahami jalan cerita. Tahniah kepada penulis kerana berjaya membuat kesinambungan setiap bab terjalin dengan kemas. Prolog buku ini menarik dan ringkas. Apabila dibaca, ianya terus menekankan konflik yang bakal terjadi dan menimbulkan tanda tanya kepada pembaca.

Fella seorang kanak-kanak perempuan yang bijak, menjadi buruan Ghaffar bapa saudaranya sendiri. Ibu bapa Fella telah mengimplankan cip komputer ciptaan mereka ke dalam otak Fella. Dr. Imanina bertanggungjawab menjaga Fella setelah ibu bapanya dibunuh. Fella perlu dipastikan tidak dapat dikesan musuh.

Konflik dimana Fella terlihat email Dr. Imanina kepada pihak tentera. Perkara itu menimbulkan rasa kecewa dan sedih sehingga Fella cuba melarikan diri. Tetapi penyelesaian konflik itu ditamatkan dengan mudah apabila rumah mereka diserang. Sentuhan emosi disitu kurang menjadi.

Perkaitan antara Ibu bapa Fella dengan Dr. Imanina juga tidak jelas. Watak Dr.Imanina seolah - olah wujud secara terpaksa dan dia perlu memikul tugas menjaga cip dan Fella kerana Prof Farhan & Prof Amelia mati dibunuh. Plot pembunuhan dan bagaimana Dr. Imanina melepaskan diri tidak diceritakan. Sekiranya plot ini wujud, ianya akan menjadikan kisah ini lebih menarik.

Perbualan antara watak Fella dan Fathul tidak seperti kanak-kanak yang berusia 4 tahun. Hanya Fella yang diketahui sebagai bijak, petah berkata dan berfikiran tajam tetapi tidak bagi Fathul. Agak mengelirukan.

Apa motif cip itu dicipta, bagaimana ianya bermula dan apa akibat sekiranya cip ini jatuh ke tangan orang yang salah tidak dijelaskan dengan mendalam.

Jujurnya garapan cerita agak mendatar. Bagaimana pun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Buku ini boleh di kategorikan buku sci - fi yang ringan, kurang istilah - istilah teknologi yang kompleks yang perlu dihadam oleh pembaca. Ada diselitkan unsur - unsur keagamaan, nasihat dan di pengakhiran cerita ada di selitkan kisah cinta.


Tertanya-tanya maksud perkataan Nalar sewaktu buku ini tiba di pangkuan sebagai tugasan ulasan buku yang saya janjikan pada penerbitnya. Menurut Kamus Dewan edisi keempat (lebih tepat di laman prpm), ia bermaksud pemikiran untuk menilai buruk baiknya, fikiran yang sihat, akal budi, intelek.

Jika saya boleh menghabiskan bacaan senaskah buku dalam masa beberapa jam sahaja, ini bermakna jalan cerita buku tersebut berjaya membuatkan saya tidak sabar menghabiskan pembacaan. Boleh jadi ia bacaan ringan yang mudah dihadam, tidak membosankan atau saya suka cara penyampaian penulisnya.

Itulah yang terjadi sewaktu saya membaca buku Nalar, yang dihabiskan bacaannya dalam satu malam sahaja. Sungguhpun saya agak liat untuk reviu buku ini kerana sikap saya yang bertangguh, tapi buku ini menarik dibaca.

Ya, saya suka buku berunsur pengembaraan, thriller dan seram tetapi saya tidak boleh letakkan buku ini dalam kategori buku yang saya minat. Mungkin faktor umur, saya mahukan buku yang lebih mendalam dan ada beberapa perkara yang menjadi tanda tanya.

Berkisar seorang kanak-kanak luar biasa bernama Fella yang merupakan watak utama, ada beberapa perkara yang saya rasa agak kurang logik dari segi penerimaan orang keliling. Sebagai contoh Tuan Firhan, seorang penguatkuasa undang-undang juga bapa kepada kawan baik Fella, terlalu bersahaja dengan perkara yang menakjubkan berlaku ke atas Fella. Boleh membiarkan Fella berseorangan berdikari, tidak mahu menyiasat lebih mendalam latar belakang Fella dan penjaganya dan beberapa perkara yang saya rasa kurang logik. Saya memikirkan mungkin senario cerita ini akan berlaku di masa hadapan di mana kanak-kanak pada zaman itu sangat berdikari dan tidak menjadi persoalan berkelakuan luar kelaziman karekter seorang kanak-kanak seperti yang diterima masyarakat.

Watak antagonis agak kurang ganas. Itulah seperti saya katakan tadi, mungkin saya sudah terbiasa membaca watak antagonis yang ganas belaka. (Maafkan saya). Ada satu lohong 'timeline' bilamana tiba-tiba peredaran masa berlaku terlalu jauh sehinggakan ada rasa kehampaan di situ sebagai pembaca. Jikalau penulis berhasrat mahu menyambung Nalar II, saya cadangkan buatlah flashback untuk menerangkan apa yang berlaku dalam 'gap' yang saya maksudkan di pengakhiran cerita.

Selebihnya, saya berpuas hati dengan gaya penulisan penulis dari segi tatabahasa, idea penceritaan, konsep dan dialognya pun kita boleh rasa seperti kita pun turut serta berada dalam dunia mereka. Itu sebabnya saya boleh baca buku ini sekejap sahaja sebab ia mudah meletakkan diri saya sebentar dalam dunia fiksyen Nalar dan lupakan dunia realiti saya untuk seketika.

Satu usaha yang baik untuk membanyakkan karya fiksyen tempatan dalam genre sains fiksyen. Buku yang sesuai dibaca dari usia remaja sehingga dewasa.

Comments

Popular posts from this blog

Sketsa Bloggers Chat Room(BCR)

Bab 10 Novel Couple 3 Suku

SOUL & LIFE AFTER DEATH