Review Novel Delina, Aku Antropomorfik oleh Farhain

Ulasan: Farhain Ismail

Judul: Delina Aku Antropomorfik
Penerbit: Kadokawa Gempak Starz Sdn Bhd, Cetakan pertama Januari 2019.
Karya: Sharina Elisa
ISBN: 978-967-478-867-4

Buku ini merupakan sebuah novel ringan, genre fiksyen sains. Novel ini dibahagikan kepada 14 bab, dan mempunyai 312 muka surat. Kisah bermula apabila watak utama iaitu seorang gadis berumur 17 tahun bernama Delina Nur Aisya dihantar bersekolah di Diamond Academy. Delina sebenarnya seorang manusia robot yang dicipta oleh Dr. Cynthia seorang pakar robotik di Malaysia Secret Robot Investigator (MSRI). Misi MSRI adalah untuk membantu menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara tanpa tentera manusia menjelang 2030 nanti.

Delina dikehendaki menyiasat tentang jenayah yang berlaku di akademi tersebut. Hampir setiap malam Jumaat akan berlaku kematian mengejut melibatkan penghuni hostel. Setiap kali berlaku kematian, pembunuhnya tidak diketahui. Dikatakan juga akademi itu dihuni hantu yang membantu manusia untuk berbuat kejahatan. Muncul watak seorang gadis yang agak pelik dan tidak berperasaan bernama Sera. Delina mengesyaki Sera yang merupakan rakan sebiliknya itu adalah suspek pembunuhan. Tetapi betul ke Sera pembunuhnya? Jika benar Sera pembunuh, bagaimana pembunuhan boleh berlaku walaupun Sera berada di depan matanya? Sungguh mendebarkan jalan ceritanya ini kerana setiap kes pembunuhan yang berlaku seperti dirancang.

Karya yang digolongkan dalam genre fantasi pasti mengandungi unsur keanehan luar biasa seperti sihir, hantu, dan jin yang masih belum diakui secara empirikal oleh penyelidikan sains masa kini. Kisah dari novel ini contohnya, secara tidak langsung menonjolkan fahaman tahyul masyarakat. Dikatakan sesiapa yang sudah mendaftar di akademi tersebut tidak dibenarkan pindah ke sekolah lain. Sumpahan kematian akan tetap menyelubungi mereka sekeluarga.

Istilah "Antropomorfik" pada judul novel berasal dari bahasa Yunani 'anthropos', manusia dan 'morphe', bentuk. Ia merujuk kepada karakter manusia tetapi ia makhluk bukan manusia. Namun, ia dapat berfikir dan berbicara seperti manusia. Dalam cerita ni, manusia robot yang dicipta sukar untuk dibezakan dengan manusia biasa, kerana kulitnya dilitupi kulit seperti manusia walaupun diperbuat daripada logam. Untuk membezakannya dengan manusia biasa, terdapat kod bar di belakang leher setiap robot. Antara ciri-ciri menarik robot manusia ini, mereka memperolehi tenaga melalui tenaga solar untuk berfungsi, boleh menjadi halimunan dan bergerak sepantas cahaya, berhubung dengan penciptanya melalui sistem notifikasi berbentuk e-mel, dan dapat mengenal pasti pergerakan manusia melalui inframerah. Hebat!

Memetik kata hikmah pada bab terakhir novel, "Robot boleh jadi manusia bila sifat kemanusiaan wujud dalam diri dan manusia boleh menjadi robot bila tak tahu kendalikan perasaan walaupun dianugerahkan akal dan hati."

Ulasan oleh,

Farhain Ismail
9 Februari 2019.

Tag Siri Novel Ringan Magic Bean

#ReviewMagicBean
#Delina
#DelinaAkuAntropomorfik
#MagicBean
#KadokawaGempakStarz
#FarhainandBooks

Comments

Popular posts from this blog

Sketsa Bloggers Chat Room(BCR)

Bab 10 Novel Couple 3 Suku

Hanya Aku! Novel terbaru KaryaSeni/Penulisan2u