Bab 1 novel COUPLE 3 SUKU

HATINYA rasa tenang usai membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Matanya dipejam rapat. Merasai kenikmatan sepi malam dalam keadaan tangan yang masih memeluk kitab suci itu di dalam pelukan. Kelopak matanya terbuka serta-merta apabila mendengar getaran telefon yang diletakkan di atas meja. ‘Cik Sepupu Aimi’ muncul di skrin telefon. Lekas sahaja dia menjawab.

“Kau kena tolong aku, Ins!” Suara Aimi di hujung talian kedengaran cemas. Tanpa salam, terus menyergah. Aimi ni
memang jenis tak menyempat.

“Waalaikummusalam. Kut ya pun ada hal penting, takkan tak sempat nak bagi salam?” perli Insyirah sambil bangun lalu meletakkan Al-Quran di atas rak.

“Yelah! Assalamualaikum.”

“Waalaikummusalam. Ada apa kau telefon aku malam-malam macam ni? Tak habis lagi ke rindu kau tu kat aku?
Simpanlah sikit rindu tu untuk esok-esok. Nanti, habis rindu tu nak beli kat mana?” Insyirah meloyar buruk.

“Kau kena tolong aku! Please! Soal hidup mati aku ni!

“Yang hidup pasti mati,” balasnya selamba.

“Ins! Cuba serius sikit!” Aimi sudah mendengus di talian.

“Kalau dengan kau ni memang payah. Asyik nak main-main tak kira masa. Aku sekarang ni ada masalah besar. Jadi,
kau boleh tak serius sekejap?”

“Okey! Kejap je ye?” Insyirah tarik sengih.

“Miring otak aku layan kau! Agaknya masa mommy kau mengandung, makan apalah sampai jadi tak berapa nak
betul macam ni?”

“Kalau miring, masuk sajalah ke Tanjung Rambutan.”

“Arghhh!” Jerit Aimi. “Cukup! Ni semua kau punya pasal, kau tahu tak? Ummi dah bagi kata muktamad. Dia nak
kahwinkan aku dengan Abang Mikail! Dia kata aku dengan Abang Mikail ada feeling pink-pink!”

Terkial-kial Insyirah cuba mencerna kata-kata Aimi.

“Mikail mana pulak ni?”

Dia berjalan ke jendela. Memerhati kesibukan warga kota. Ralit betul dengan urusan masing-masing. Dia mendongak pula memandang langit. Tajam matanya menentang sinar rembulan. Tampak sedikit ego apabila di
kelililingi kerlipan bintang.

“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?”

“Aku dengar,” balas Insyirah sedikit dingin.

“Jadi, apa yang aku patut buat? Takkan aku nak reda je ummi nak kahwinkan aku dengan Abang Mikail tu?”

“Mungkin kau patut buat origami kapal terbang kertas. Kau pinjam la alat pengecil badan dari Doraemon. Lepas tu,
kau naik atas kapal terbang tu. Kau pergi la mana-mana kau nak pergi. Sampai ke awan ke… kemudian kau terjun ke bawah. Ha! Waktu tu, baru kau tahu bestnya hidup ni.” Insyirah balas selamba. Seronok meloyar buruk.

“Ish, kau ni! Kalau dekat, dah melayang penumbuk dekat muka kau ni. Boleh tak kau tolong aku? Tolonglah serius
sikit! Aku tak ada masa nak melawak dengan kaulah. Kalau aku ada kawan lain selain kau, aku tak cari kau tau tak?”

Insyirah mencebik.

“Gurau sikitpun nak marah. Relakslah. Kena kahwin je pun. Tak suka, cerailah. Payah gak kalau nak tolong kau ni.
Mak Ngah tu ummi kau. Aku ni anak saudara dia. Takkanlah dia nak dengar cakap aku berbanding kau? Lagipun, hitam kata Mak Ngah tu, hitamlah jadinya. Kalau kau nak tukar warna lain, kau bagilah crayon dekat ummi kau tu. Suruh dia cat warna lain!”

Insyirah dengar Aimi mengeluh kasar.

“Abang Mikail tu dah macam abang kandung aku sendiri. Kami tak boleh kahwin.”

“Kenapa pulak? Siapa cakap kau tak boleh kahwin? Dia lelaki, kau perempuan. Kalau kau tak nak kahwin dengan
lelaki, kau nak kahwin dengan aku ke? Dengan perempuan?” Insyirah sengih sendiri.

“Kau ni… kalau bercakap boleh tak kalau tak pakai kepala lutut kambing?”

“Cantik bahasa, cik adik?”

“Dah kau bagi pendapat terlebih bijak.” Rambutnya yang panjang hingga ke pinggang, dibelai. Kepalanya disandar
ke bingkai jendela.

“Tak betul ke apa yang aku kata tu? Abang Mikail tukan anak angkat ummi kau? Jadi, tak berdosa kalau kau
kahwin dengan dia. Aku tengok, Abang Mikail layan kau baik semacam je. Entah-entah, dia memang syok kat kau. Sebab tu, ummi kau suruh kau kahwin dengan dia.”

“Kau merepek apa ni? Kalau aku kata tak nak, tak naklah! Kau tolonglah pujuk ummi. Kau je harapan aku. Aku tak
nak la macam dalam drama, dalam novel semua tu. Apa kahwin-kahwin paksa ni? Hidup ni real lah!”

“Yelah-yelah, nanti aku pujuk Mak Ngah. Aku tahu ummi kau tu sayang bebenor dengan aku ni, hah.”

“Masuk lif tekan sendiri.”

“Kalau aku masuk dengan kau, kau tolongah tekan,” jawab Insyirah.

AIMI mundar-mandir di ruang makan. Garfu di tangan menikam kuih lompang yang berada di hadapan. Sementara sebelah lagi tangan meraba-raba poket jeans lusuhnya. Sesekali dia mengerling ke arah Insyirah. Dia mengetap gigi. Si Insyirah ni kenapalah belum lagi memulakan misi mereka? Yang asyik perhati Puan Kasmah memasak tu kenapa? Tercegat macam tiang elektrik kenapa? Alahai, Ins! Cepatlah! Nanti, bangun Abang Mikail macam mana? Dia tersenyum spontan apabila Insyirah berdeham. Senyuman makin melebar apabila gadis itu mengangkat ibu jari memberi isyarat bagus.

“Wanginya bau. Mak Ngah kalau masak, perut Ins ni yang tak lapar pun boleh jadi bergelora.”

“Ish, manis betul mulut tu!”

“Mak Ngah mana tahu mulut Ins manis?”

Terbuntang mata Puan Kasmah. Kalau anak saudaranya ni seorang, memang nakal betul! Tak padan dengan usia.
Dia tergeleng-geleng. “Ins tahu tak?”

“Belum cakap, macam mana nak tahu?” Saja dia menyakat. Giginya yang memutih ditayang.

“Nenek Ins lagi pakar tau? Kalau masak, satu kampung baru aroma dia.”

“Tahu… selalu je nenek dengan atuk datang rumah.” Insyirah menjawab.

“La betul ke? Mak Ngah tak tahu pun. Mereka tak ada pulak datang sini!”

Insyirah senyum sambil lehernya dipanjangkan. Mengintai isi periuk. “Mereka datang temankan Ins je, Mak Ngah. Mommy dengan daddy kan selalu outstation?”

Puan Kasmah mengangguk dan mengiyakan.

“Patutlah Mak Ngah pandai masak. Rasanya kalau Mak Ngah masuk pertandingan memasak, Chef Wan pun boleh
kalah tau?”

Berkerut-kerut dahi Aimi.

‘Ni nak bantu aku ke nak berborak dengan ummi?’ desis hati kecilnya.

Puan Kasmah ketawa senang. “Pandai Ins ni kan?”

“Memang pandaipun. Ni Ins tengok Mak Ngah hari ni pakai baju lawa-lawa mengalahkan artis. Berkelip-kelip sampai silau mata ni dibuatnya. Dah macam lampu lip lap pun ada. Mesti mahal ni sehinggakan terpukau Ins tengok Mak Ngah cantik sangat!”

“Mana ada mahalnya. Pak Ngah Ins tu mana ada nak belikan Mak Ngah yang mahal-mahal. Inipun harapkan hadiah
sebab Mak Ngah menang pertandingan ratu kebaya dulu. Ala, baju masa muda-muda dulu. Saja je try pakai tadi. Tak sangka padan lagi. Ingat nak tanggalkan tapi alang-alang Pak Ngahpuji Mak Ngah cantik tadi, melaram la Mak Ngah kat dapur hari ni. Kalau nak diberi kat Aimi tu mana nak dipakainya? Asyik pakai baju lelaki je kerjanya. Nak jadi lelaki gamaknya!”

Berdesing telinga Aimi mendengar kata-kata umminya. Dia mula tidak senang duduk. Bila lagi Insyirah ni nak habiskan mukadimahnya ni?

Kembang kempis lubang hidung Puan Kasmah apabila diri asyik dipuji hari ini. Mahu sahaja Aimi menjerit ‘yes’!
Nampaknya, ada peluanglah Insyirah bertanya. Dia tahu, umminya itu pantang dipuji. Mesti lentok habis nanti.

“Kahwin best tak, Mak Ngah?” tanya Insyirah tibatiba. Sekaligus mengundang reaksi terkejut dari Puan Kasmah.
Mujur tak tercampak senduk ke dalam periuk.

Aimi tersentak. Pantas dia menoleh memandang ke arah Insyirah bagai nak telan.

‘Apa hal pulak minah tiga suku ni tanya soalan macam ni? Ni namanya nak menjahanamkan kawan! Bukannya nak selamatkan!’ omelnya dengan mulut terkumatkamit.

“Nak tahu, kena la kahwin dulu tapi kamu ni dah ada calon ke?”

“Kena kahwin dulu? Kalau dah kahwin tak best macam mana? Cerai lepas tu kahwin balik sampailah jumpa yang best ke macam mana, Mak Ngah?” tanya Insyirah seperti anak kecil.

Jatuh rahang Puan Kasmah. Berkerut-kerut dahi memandang anak saudaranya itu.

“Ada pulak macam tu? Budak ni… kalau bercakap tak peningkan kepala aku, memang tak sah! Kamu ni Ins, nak kahwin ke? Dah ada calon ke belum kamu ni?”

“Calon UPSR ke? Atau PT3? Atau SPM? Takpun calon pilihanraya, Mak Ngah?”

Terkebil-kebil Puan Kasmah mendengar lawak tidak kelakar Insyirah itu.

“Arghh! Jadi gila aku dibuatnya! Nasib baik anak sedara aku sorang je perangai macam kamu ni, Ins! Ish, pergi depan sana! Pergi layan tetamu tu. Aimi kejutkan Mikail. Pening Ummi melayan sepupu kamu ni.”

Aimi memuncungkan mulutnya. “Apa ni, Ins? Kata nak tolong aku!” Bentaknya perlahan namun tidak dapat
didengari pun oleh Insyirah yang sudah ke hadapan.

Comments

Popular posts from this blog

Sketsa Bloggers Chat Room(BCR)

Bab 10 Novel Couple 3 Suku

Hanya Aku! Novel terbaru KaryaSeni/Penulisan2u