Bab 3 Novel Couple 3 Suku

BADANNYA dihempas ke penyandar kerusi. Jari-jemari memicit dahi. Terasa pening apabila memeriksa dokumen yang terbentang di atas meja. Meragukan. Dia harus mencari di mana pincangnya.

Dari dalam bilik, dia dapat mendengar bunyi kecoh yang kedengaran. Entah apa yang berlaku, dia malas ambil pusing. Kepalanya terasa memberat. Dadanya sesak. Tidak cukup oksigen ke dalam ruang biliknya itu?  Dadanya ditekan kuat. Kononnya untuk mengurangkan rasa sakit. Tiba-tiba pintu bilik kerjanya diketuk.

“Masuk!” Jawab Insyirah dalam payah. Suaranya seperti tidak mahu keluar dari peti suara. Aril muncul di muka pintu dengan senyuman semanis gula. Mujur sahaja tidak dihurung semut. Insyirah melambai sebagai isyarat memanggil jejaka itu supaya mendekatinya.

Aril memicingkan anak mata. Seperti hairan melihat reaksi pelik gadis itu.

“Awak okey tak ni? Macam susah nak bernafas je. Nak minta tolong saya bagi CPR ke?” Dia menyakat dalam nada gatal yang dibuat-buat. Sengaja mengerdip-ngerdip kelopak matanya.

“Tolong bawakan saya air mineral, boleh?” pinta Insyirah dalam nada perlahan.

“Suzana! Bawakan saya air mineral, cepat!” Laung Aril kuat setelah menyedari yang Insyirah serius dan tidak  membalas gurauannya.

“Air yang tak bermineral encik tak mahu?” Suzana muncul lalu menyoal serba salah kerana tiada air yang diminta oleh majikannya itu.

“Lantaklah. Asalkan tak campur kopi atau milo.”Intonasi Aril resah.

“Apa hal pulaknya tu?” soal Syarifah Marlia seraya memanjangkan lehernya. Dia yang tadinya dikerumi para pekerja, bergegas ke bilik calon menantu pilihannya. Hairan juga apabila Aril terpekik-pekik macam orang tak betul.

“Suraya, kenapa awak ni? Muka dah macam orang tak ada darah. Awak ni baik hati sangat ke nak dermakan darah awak kat nyamuk-nyamuk semalam?” soal Aril dengan muka penuh bimbang kepada Insyirah yang dipanggilnya Suraya itu.

Insyirah tergeleng-geleng mendengar soalan fius tercabut Aril.

“Encik Aril, ni airnya.”

Syarifah Marlia sambut huluran Suzana itu lalu menyua kepada Insyirah.

“Kamu ni, Ril! Suraya tu dah sesak teruk, kamu masih lagi nak merapu-rapu. Cepat papah menantu mama ni ke kereta. Bawa ke hospital,” arah Syarifah Marlia gusar.

“Hah? Menantu puan?” soal Suzana terperanjat.

Syarifah Marlia sembunyi senyum. Itu harapannya. Kempunan betul kalau Insyirah tak dapat jadi menantunya. Berkenan sangat dia.

“Cik Suraya dengan Encik Aril dah kahwin ke Puan Mar?”

“Eh, bila Ril kahwin dengan Suraya ni, ma?” Aril telengkan kepala ke atas. Kononnya, sedang berfikir.

“Alahai, cepatlah!” Gesa Syarifah Marlia risau. Bahu anak terunanya itu ditepuk.

Insyirah menggeleng-geleng tanda tidak mahu. Nafasnya ditarik dalam. Baki air suam di dalam gelas diteguk. Alhamdulillah! Rongga hidungnya sudah dapat menghirup udara seperti biasa. Entah kenapa sejak kebelakangan ini, dia sering sesak nafas. Lepas minum air masak, terus okey. Pelik!

“Apa lagi, dukung jelah! Korang semua ni pergi sambung buat kerja masing-masing!” Sergah Syarifah Marlia.

Aril urut belakang leher. Jadi bingung pula dia. Tak tahu macam mana nak papah Insyirah.

“Eh, tak pe! Saya dah okey!” Pintas Insyirah laju.

‘Ada pulak sesenang hati nak suruh anak dia dukung aku? Ada lesen dari tok kadi ke? Kalau tak, jangan nak bermimpi!’

“Anak orang, ma! Anak kambing senanglah. Nak dukung ke, nak golek ke, nak junjung ke…” Aril balas tidak senang dengan saranan ibunya.

“Sebab anak oranglah mama risau...”

Insyirah cuba angkat tubuh lalu berdiri. “Lama betul tak nampak datang sini. Makin saya tengok, makin berseri-seri mak cik ni. Kalah kuih seri muka.”

“Manisnya betul mulut Suraya ni… malu mama dibuatnya,” segan Syarifah Marlia tersipu malu. Pipi gadis itu dicubitnya perlahan.

“Mana tak manis, mak cik… hari-hari saya taruk gula,” balas Insyirah seraya ketawa perlahan.

Pecah tawa Syarifah Marlia. Kembang kempis hidung Aril mendengar bicara mesra Insyirah dengan mamanya. Bangga semacam. Kononnya, pilihannya itu pandai mengambil hati. Walhal, bukannya awek diapun. Bukannya bini diapun. Perasan je Insyirah tu hak dia sedangkan mereka baru sahaja berjumpa.

‘Alah, kalau orang tu tak sudi, syok sendiripun apa salahnya? Ceh! Menyedapkan hati sendiri je kau ni, Ril!’

“Jom keluar, sayang. Mama belanja lunch hari ni,” pelawa Syarifah Marlia seraya memaut bahu Insyirah.

Terkelip-kelip kelopak mata Aril. Sekarang ni, siapa anak siapa calon menantu?

Insyirah angguk seraya berjalan keluar dari biliknya.Beriringan.

“Tadi tu semua ahli jawatankuasa tertinggi menganyam ketupat ke, mak cik? Mereka minta sponsor mak cik ke?” soal Insyirah langsung tak bertapis.

Syarifah Marlia hanya angguk sambil sengih sahaja.

PEN yang tersusun kemas di atas meja disepah-sepahnya. Mata memandang penuh minat ke arah susunan pen yang berselerak dan bertindih-tindih itu. Teringat zaman sekolahnya dulu. Main angkat pen satu demi satu tapi setiap satu pen yang lain tidak boleh bergerak.

Insyirah senyum sendiri. Tanpa disedari, tangan kanannya mengangkat satu demi satu pen tersebut tanpa menggerakkan pen yang lain lalu diletakkan semula ke dalam bekasnya.

Jarum jam baru sahaja menginjak ke angka 10. Dia sudah dihasut rasa bosan. Hendak siapkan kerja, semuanya
sudah disiapkan. Hatinya digeletek rasa rindu. Ligat memorinya memaut pada bayangan Adli, si kekasih pujaan hatinya. Gajet empat seginya dijeling sekilas. Masuk hari ni, sudah dua bulan Adli tidak menghubunginya. Dia capai telefon. Angkat. Letak. Dan angkat semula. Berkira-kira sama ada panggilannya nanti mengganggu atau
tidak manusia nun di sana.

“Sibuk sangat ke mamat tu sampai langsung tak text aku?” soalnya pada diri sendiri.

Tanpa dia sedar, jemarinya terdail nombor telefon Adli. Belum pun sempat dia menghulurkan salam, Adli terus sahaja memberi alasan.

“Sorry, sayang. Abang busy ni. Lain kali abang telefon sayang.” Terus talian dimatikan.

“Huh! Tak sempat nak cakap apa-apa dah letak phone. Suara aku ni teruk sangat ke sampai tak sanggup nak dengar sepatah pun?” keluh Insyirah kecewa.

Dek kerana bengang, talian dimatikan. Nasib baik, telefon tu baru beli. Kalau tak, mesti hancur macam telefon yang sebelum ini juga. Pecah skrin setiap kali dia dilayan begini oleh Adli. Nasib juga si Adli itu yang hadiahkan. Kalau beli sendiri, mesti rasa menyesal selepas campakkan ke dinding.

“Selalu macam ni! Cakap nak telefon balik. Alih-alih, tak telefon pun!” Rungutnya tidak puas hati.

Hati memberontak. Sejak akhir-akhir ini, Adli asyik betul sibuk tak ingat dunia. Entah projek apa yang dibuat hinggakan langsung tak sempat bertanya khabar. Apatah lagi nak bercinta macam orang lain. Siang busy dengan kerja, malam ada appointment dengan client. Kadang-kadang, macam tak logik pun ada. Takkan mengalahkan pak menteri sibuknya?

Insyirah mengeluh perlahan. Dulu, Adli tak adalah sampai macam ni. Bukannya dia tidak ingat betapa bersungguhnya lelaki itu nak pikat dia. Sanggup berdiri di tengah-tengah hujan semata-mata nak berkawan dengannya. Insyirah menyembam mukanya ke meja.

“Lelaki memang macam ni ke? Belum dapat, dicari. Dah dapat, campak sesuka hati. Hei, Ins! Adli tu kan sibuk! Aisey! Kau tak patut ganggu dia. Tengok, sekarang dah mengganggu kerjanya pula. Untuk menjadi teman wanita
yang baik, kau kenalah belajar memahami pasangan kau,”pujuknya sendiri.

Insyirah gigit hujung bibir. Hatinya benar-benar rindukan Adli. Kejam betul mamat itu. Usahkan nak ajak berjumpa, nak dengar suarapun tidak sudi. Dia tenung skrin laptop yang terbuai dek screen saver. Kepalanya ditelengkan ke atas meja. Hatinya disayat pedih.

“Susah-susah buat orang jatuh cinta kat dia… lepas tu buat orang macam terhegeh-hegeh pulak kat dia.” Mulut Insyirah memuncung.

“Benci! Benci!” Telapak tangannya dihentak-hentak ke atas meja. Nasib baik meja kayu, kalau hentak meja kaca mesti dah terburai.

“La apa hal pulak benci kat meja tu?” Pertanyaan Aril memeranjatkan Insyirah. Terkejut sehingga badannya tegak serta-merta.

“Eh, mamat ni! Tetiba je muncul tak bagi salam!” Omelnya perlahan.

Cepat-cepat, dia sibukkan diri. Malu apabila tertangkap dengan bos sendiri. Mahu sahaja dia sorokkan muka kat bawah meja. Apatah lagi bila Aril duk tersengih-sengih tayang gigi yang tersusun elok itu.

Ya! Dia tahulah yang dia banyak salah faham dengan encik bos itu. Awal-awal mamat tu kerja dulu, dia ingatkan jurujual. Paling tak tahu nak letak muka dia kat mana waktu dia baru tahu rupanya encik yang disangka jurujual tu adalahanak majikannya.

“Cepatlah!” Gesa Aril seraya mengosok-gosok perut sendiri. Lapar sangat dah ni. Berkeroncong sejak pagi tadi lagi.

“Erk, pi mana?” soal Insyirah bingung.

“Lunch.”

Automatik, ekor mata Insyirah itu mengerling ke arah angka jam di skrin laptop.

“Lunch pebendenye, Encik Aril? Baru pukul 11 pagi ni.”

“Saya lapar la,” rengek Aril. Sengaja buat nada manja gaya budak tadika minta aiskrim.

“Oh, lapar makanlah! Takkan Encik Aril nak saya suapkan kut?” balas Insyirah acuh tak acuh. Dia nak makan berdua dengan Adli. Bukannya Aril. Memanglah kedua-duanya huruf A di hadapan nama mereka namun mereka bukan orang yang sama.

“Kalau awak sudi suapkan, sudu emas saya sediakan.” Insyirah herotkan bibir. ‘Banyaklah Encik Aril punya sudu emas. Tak kelakar okey!’

“Ala! Saya guna senduk je kalau setakat Encik Aril ni.”

“Senduk? Nak sendukkan lauk untuk saya? Waa, ini dah kira bagus ni.” Aril tayang muka teruja. Macam budak-budak dipelawa main dekat playground lagaknya.

“Ya, senduk tapi ular senduklah!” Isyirah jungkit kening dengan riak wajah nakal. Seronok betul kalau dapat kenakan orang.

“Uish, apa ni? Main ular-ular? Tak takut ke?”

“Takut gak tapi saya main sebut je. Bukan ular tu boleh dengar pun.”

“Kalau saya jadi ular, awak takut tak?”

“Kalau encik jadi ular, saya jadi helang.”

“See! Ada je jawapan dia ni!”

“C? D E F G sampai Z tu encik nak taruk mana?”

“Huruf lain semuanya saya telan. Kecuali…” Sengaja Aril memancing.

“Kecuali?”
Aril sembunyi sengih. “Huruf lain saya hirup buat sup. Kalau awak banyak cakap, saya mesin awak jadi jus.”

Terkebil-kebil Insyirah mendengar bos muda yang sama loyar buruk sepertinya.

“Ha… tau takut? Jangan cakap banyak lagi, jom ikut saya!”

“Tak nak la ikut encik. Buat apa?”

“Makan, Cik Suraya.”

“Hah? Makan saya? Jangan, encik! Saya ni kurus kering… tak de isi… tak kenyang. Baik encik makan burger ke, makan nasi ke, boleh gak kenyang.”

“Subhanallah, budak ni! Sudah-sudah la tu... loyar buruk betullah. Bangun! Sekarang. Kita. Pergi. Makan. Dekat. Restoren. Saya. Lapar. Jelas tak?”

“Oh! Pergilah!”

“Saya ajak awak.”

“Saya dah kenyang.”

“Tak ada alasan lagi… awak kena ikut saya juga.”

"Kenapa kena ikut encik?"

"Aduhai, dia ni! Sebab saya bos dan awak pekerja. So, no objection! "

“O… key…” balas Insyirah malas. Terpaksa akur akhirnya. Habis satu KL aku ‘pusing’, tak menjadi jugak!

“NAMA sebenar awak apa? Yalah, saya ni asyik sibuk je... tak sempat nak beramah mesra dengan cik pembantu peribadi saya ni,” soal Aril seraya menyuapkan nasi goreng kampung ke dalam mulut.

“Kura-kura panjat perahu, nak jumpa doktor gigi, hari-hari makan tauhu, dah tahu tanya lagi.”

Eh minah ni!

“Doktor gigi sakit kaki, tukang urut sibuk memanjang, doktor gigi urut sendiri, saya nak tahu nama panjang.”

Insyirah lirik matanya ke arah Aril yang tidak mahu kalah itu.

“Binti sekali nak jugak?” Sengaja dia menyakat.

“Kalau boleh masukkan nama datuk moyang pun saya tak kisah.” Aril sengaja lempar senyuman menggoda. Sengaja mahu menarik perhatian Insyirah. Tapi nampaknya gadis itu seperti malas ambil pusing. Sebaliknya memotong ayam goreng berempah kepada potongan-potongan kecil sebelum disua ke mulut.

“Suraya Insyirah.”

“Cantik nama awak.”

“Dah ramai dah yang puji.” Selamba Insyirah menjawab.

Aril ketawa kecil. Senang dengan gadis yang sentiasa ceria itu. “Cepat betul awak mesra dengan orang ya?”

“Saya anggap semua...” Bicara Insyirah terhenti apabila matanya secara tidak sengaja tertancap ke arah satu pasangan yang galak berpimpingan tangan sambil bergelak tawa. Ternganga dia apabila melihat Adli dengan selamba mengucup pipi perempuan itu sambil tangan jantan itu melingkari pinggang ramping yang manja diperlakukan sebegitu itu.

‘Dasar lelaki! Miang Keladi! Rebung Buluh! Jantan tak guna!’ Insyirah sudah meluah geram. Gigi diketap kuat. Penumbuk digenggam.

‘Tak sangka! Ini ke yang kau sibuk-sibukkan sangat? Sibuk bermaksiat dengan perempuan murahan yang kalau jual lelongpun belum tentu ada yang nak beli. Kalau kau tu dah tak sayangkan aku, jangan buat aku macam orang bodoh ternanti-nantikan kau!’ Mahu sahaja dia menjerit. Mahu sahaja dia pergi menjerkah mereka. Biar Adli tahu rasa malu atau sebal. Takpun, rasa gembira sebab berjaya menipunya. Mahu sahaja hati perempuannya menangis. Ingin saja dia menghamburkan air mata. Hatinya bagai disiat-siat dek kecurangan Adli di
depan mata.

‘Tak! Tak mungkin! Ni mesti pelanduk dua serupa!’

Fikiran dan hati bagai berperang sendiri. Aril letakkan sudu dan garfu ke dalam pinggan perlahan-lahan. Selera makannya terbantut melihat gadis bertentangannya itu. Kening dijungkit hairan. Mata dilirik kearah pandangan Insyirah. Reaksi gadis comel di hadapannya itu diperhatikan.

Dia berdeham. “Awak kenal mereka?” soalnya yang dihantui rasa ingin tahu.

“Hah?”

“Awak kenal mereka ke? Boyfriend awak?” Aril serkap jarang. Rasa ingin tahu memuncak.

“Tak! Tak kenal pun,” balas Insyirah, gugup.

Aril angkat kening seraya membetulkan duduknya. Dia faham kalau Insyirah tidak mahu bercerita. Ya, dia tahu. Mereka bukannya kenal lama. Sekadar rakan sekerja.

“Hmm… okey… makanlah. Saya tak tanya lagi.”

Comments

Popular posts from this blog

Sketsa Bloggers Chat Room(BCR)

Bab 10 Novel Couple 3 Suku

Hanya Aku! Novel terbaru KaryaSeni/Penulisan2u