Bab 5 Novel Couple 3 Suku


JAM di pergelangan tangan dikerling. Masih ada setengah jam lagi sebelum waktu kerja bermula. Matanya masih lagi diulit rasa mengantuk. Kepalanya disandar ke penyandar. Entah berapa lama dia tertidur, dia tidak pasti.

Terjaga pun apabila cermin keretanya diketuk oleh Aril. Terasa pipinya tebal berinci-inci apabila tertangkap tertidur di dalam kereta. Manalah tahu kut-kut, salivanya mengalir. Dengan wajah merah padam, dia berdeham. Membetulkan duduknya. Enjin kereta dimatikan sebelum dia melangkah turun dari perut kereta.

~~~

SEJAK pagi tadi, Aril tersengih-sengih macam orang dapat bonus sebulan gaji. Seronok betul dia apabila pertama kali dapat melihat wajah comel Insyirah yang sedang tertidur di dalam kereta pagi tadi.

Part comel tu betullah tapi bahaya! Kalau ada orang berniat jahat tadi macam mana? Hati lelakinya risau. Dia menoleh ke bilik sebelah. Yang memisahkan mereka hanyalah sekeping kaca sebagai penghalang. Wajah putih bersih Insyirah dipandang.

‘Kenapa comel sangat ni?’ getus hatinya.

Aril ketawa kecil. Dahi ditepuk.

‘Dah angau lebih dah kau ni Aril! Bermimpi nakkan perempuan cantik macam dia.’ Mata lelakinya masih lagi galak  Menjamah segala tingkah Insyirah yang kelihatan amat menarik jiwanya. Bergetar tanpa irama.

Berkerut-kerut dahinya apabila melihat gadis itu tiba-tiba bangun dan berlari keluar dari bilik dengan tergesa-gesa.

“Apa hal tu?” tanyanya mahu tahu. Dia bingkas bangun. Mengekori Insyirah dengan langkah laju.

“Encik Aril dengan Ins tu main kejar-kejar ke apa?” soal Aimi sendiri apabila terpandang gelagat uda dan dara itu. Kebetulan, Suzana melintasi mejanya.

 “Mereka tu sama padan, kan? Harapnya, ke jinjang pelaminlah mereka tu. Bolehlah kita makan nasi minyak percuma. Zaman sekarang ni, barang semua mahal, elok sangat benda percuma macam ni,” ujar Suzana teruja.

Aimi mengangguk setuju.

“Kau tu bila lagi nak kahwin? Umur kau tu bukannya muda lagi.”
“Esok!”
Suzana berpeluk tubuh dengan fail di tangan. “Main-main la pulak kau ni!”

“Betullah! Esok aku kahwin,” balas Aimi geram.

“Ye la tu. Kalau kau kawin esok, dari minggu lepas lagi kau cuti dah!”

“Ala, mak aku dah uruskan semuanya. Dia yang paksa aku kahwin, bukan aku yang nak kahwin sangat. So, aku malas nak join dua kaki. Lepas kahwin nanti, aku dah tak kerja kat sini. Bakal laki aku tak bagi aku kerja dah,” jelas Aimi dalam intonasi dingin.

Bulat mata Suzana mendengar kata-kata teman sekerjanya itu. “Mak kau paksa kau kahwin?”

Aimi telan liur. Dia tersasul cakap dia dipaksa! Alamak!

“Aku kena jumpa client! Dah lambat ni!” Cepat-cepat, dia mengemaskan barang-barangnya. Lekas sahaja keluar dari pejabat. Sementara, Suzana masih lagi terpinga-pinga.

“Suraya!”

Jeritan lelaki itu membuatkan Insyirah menoleh ke belakang. Kelihatan Aril sedang menekan lutut dengan nafas
tercungap-cungap.

“Ada apa, Encik Aril?” soalnya seraya memberhentikan lariannya.

“Tunggulah dulu!” Nada Aril tenggelam timbul. Dia tarik nafasnya panjang. Insyirah sekadar memandang majikannya itu dengan pandangan hairan.

“Apasal awak lari macam kena kejar hantu ni?”

“Encik Aril ni kejar saya ke? Sampai putus nafas macam ni? Encik, kalau hantu kejar saya, saya kejar je hantu tu balik. Ajak je hantu tu main kejar-kejar,” seloroh Insyirah.

“Amboi, mulut awak ni… cakap besar!”

“Mana ada cakap besar? Saya cakap kecik je. Mulut saya ni kecik je.” Gadis itu ketawa geli hati dengan leluconnya sendiri. Mulutnya dimuncungkan supaya kelihatan kecil.

Aril tepuk dahi. Kepalanya tergeleng-geleng sambil tersenyum. Terpana dia dengan reaksi spontan gadis itu. Kenapalah si Suraya ni bereaksi sebegitu? Sengaja nak menggoda dia ke?

Insyirah kembali menyambung langkah.

“Tunggulah dulu. Awak ni kenapa? Laju-laju nak ke mana? Kalah speedboat.” Laju Aril menegah.

 “Nantikan ada mesyuarat… saya tertinggal dokumen kat dalam kereta. Yang encik ni asyik ikut saya kenapa?”  Insyirah tidak puas hati.

“Awak tak tahu ke yang mesyuarat dengan Iman

Kasturi Holdings ditangguhkan?”

“Siapa yang tangguhkan? Kenapa saya tak tahu?”

“Sebab masa pihak Iman Kasturi call awak, awak tak ada kat pejabat. So, saya yang tolong jawab and saya yang terima maklumat tu.”

“Ooh, awat Encik Aril tak habaq awai-awai? Buat ponat den aja!”

“Yang awak laju mengalahkan lipas kudung tu kenapa? Lipas kudung pun tak kelam kabut macam awak.”

“Kesian lipas. Elok-elok Allah cipta, orang panggil dia kudung. Encik ingat, lipas tak ada hati dan perasaan ke?”

Terhambur tawa Aril mendengar tutur selamba Insyirah. Ada saja idea yang membuatkannya ketawa. Untung siapa  Yang dapat milikinya, tentu ceria saja hidup nanti.

Insyirah memilih untuk diam. Berikan ruang kepada Aril untuk ketawa sepuasnya.

“Suraya, jom makan? Laparlah. Perut saya dah nyanyi lagu dondang sayang dah ni,” ajak Aril sebaik sahaja tawanya
reda.

“Encik ni asyik lapar je. Lapar, makanlah. Saya nak naik atas. Nak siapkan kerja.”

“Kerja apanya? Saya tengok semua kerja awak dah siap.”

“Memandai encik ni ceroboh bilik saya, kan? Tahulah yang encik tu bos tapi tak patutlah ceroboh masuk.”

“Ala, saya bukannya sengaja… telefon awak berdering, tu yang saya tolong jawabkan. Lagipun, awak tak ada dalam bilik tadi. Lama sangat ke tandas. Sembelit ke?”

“Kurang asam betullah dia ni! Suka hati dia je cakap orang sembelit,” gumam Insyirah perlahan sambil mengetap
gigi. “Jom la temankan saya. Lapar ni.”

“Makan banyak tak gemuk-gemuk pun encik ni. Jeles pulak saya.”

Aril jungkit bahu. Memang sejak kecil tubuhnya tidak naik. Dia ingat lagi, lepas SPM kerja dia makan dan tidur sahaja. Badan dia tetap mantain saja.

“Nanti dah kahwin, awak gemukkanlah saya.” Dia kenyit nakal.

“Kenapa saya pulak? Wife enciklah.”

“Awak la.”

“Saya tak ada kena mengena dengan life encik. Encik kata lapar kan? Jomlah pergi makan.” Insyirah malas dengar
Aril merepek lagi.

“Okey! Good girl! Tapi awak bukan wife saya ke?” gurau Aril seraya menyambung sisa tawanya.

 “Encik jangan nak meroyan dekat sini!”

~~~

PIPI semakin hangat. Dia sudah seperti cacing kepanasan. Duduknya serba tidak kena apabila sepasang mata milik  Lelaki itu asyik menjamah wajahnya tanpa segan.

‘Mata tu nak kena tikam dengan garfu ke? Kan aku cungkil pastu cucuk jadi sate baru kau tahu! Gatal pandang anak dara orang macam tu!’ Getus hati Insyirah, gelisah.

Aril tersenyum lebar. Seronok pula dia melihat pipi gadis itu yang merona merah. Apalagi bila anak mata mereka bertembung. Cepat-cepat, gadis itu larikan pandangan ke arah lain. Comel!

“Eh, dia ni! Pandang lagi! Nak makan tak senang! Perut dah berkeroncong tengok makanan ni. Nanti, dengan kau sekali aku telan. Biar mak Syarifah cari mana anak tercabut fius dia ni,” gerutu Insyirah perlahan.

Garfu di tangan kirinya mencucuk kuat hidangan di depan mata. Sebenarnya, dah rasa macam nak korek-korek saja mata makhluk Allah di hadapan dia ni.

Insyirah berdeham. Wajahnya diangkat. “Awak pernah rasa sate tak?”

“Mestilah pernah. Apa soalan awak ni?” Boleh tergelak Aril dengar soalan budak tadika macam tu.

“Maksud saya .. .”

“Maksud awak?” Aril jungkit kening.

“Maksud saya sate mata manusia?”

“Hah?” Terserdak Aril. Telan liur dia jadinya.

Mahu sahaja Insyirah ketawa mengekek tapi bila difikirkan Aril tu majikan dia, rasa takut pula. Kalau dia dipecat nanti, tidak ke niaya?

“Awak ada impian tak?” soal Aril seraya menyuapkan roti canai ke dalam mulutnya. Sengaja alih topik. Tidak mahu dijadikan sate oleh Insyirah.

“Impian? Entah! Tak ada kut,” balas Insyirah jujur.

“Tak ada?”
“Encik ada?”


“Saya? Impian saya? Cuma satu je yang belum tercapai lagi.”

“Apa dia?”

“Kahwin! Saya dalam proses nak pilih calon. Nak tunjukkan dekat mommy. Mommy setuju, baru boleh kahwin.”

“Ala, apa yang susahnya? Encik ada duit, ramai perempuan yang tergila-gilakan encik. Lagipun, bos dan isteri dia baik. Tak sombong.”

Senyuman menipis hinggap di bibir Aril tanpa Insyirah sedari.

“Tapi awak tak pandang harta-harta saya, kan?”

“Kenapa pulak saya nak pandang harta encik? Baik saya pandang roti canai encik tu. Kenyang jugak kalau makan,” Balas Insyirah seraya kenyit mata.

‘Nakal betul!’ Aril pandang Insyirah, geram.

“Cepatlah, honey!” Gesa satu suara gedik tiba-tiba. Betul-betul berdekatan meja mereka.

“I nak you bagitahu dekat perempuan aka girlfriend olok-olok you ni yang diri you tu bakal jadi milik I. Sebab kitakan dah lama bertunang,” arah gadis gedik itu sambil melentok-lentokkan kepalanya di bahu si lelaki.

Insyirah mendongak. Memandang ke empunya suara. Adli? Perempuan hari tu?

Degup jantungnya bagai berhenti seketika. Kedua-dua belah tangannya disorokkan ke bawah meja. Menggigil dalam genggaman penumbuk. Perkataan tunang makin membuatkan rasa sayangnya selama ini hancur lumat.

Aril pandang Insyirah dan pasangan gedik itu silih-berganti. Perubahan riak mendung berbaur kecewa di wajah gadis itu seakan mencengkam dadanya. Walaupun dia tidak tahu hujung pangkalnya, tapi rasanya dia faham apa yang sedang berlaku. Nampak macam Insyirah sudah  dipermainkan.

Baby, mereka kan tengah makan ni… nanti-nanti, I bagitahu dia, ya?” pujuk Adli serba salah.

Bukan tak pernah dia rasa bersalah sebab main-mainkan Insyirah tapi kekasih hatinya si Azi itulah yang asyik mendesak supaya lakukannya. Mahu tak mahu dia turutkan saja. Dia tak kisah kalau orang kata dia buta kerana cinta.

Kalau untuk buat Azi terus berada di sisi dia, membunuh pun dia sanggup. Cintanya pada Azi takkan mampu dihalang sesiapa. Tapi sudah-sudahlah tu. Baginya, tak perlulah nak sampai nak hilangkan selera makan orang. Nampak macam tak reti adab makan pulak.

Honey! Sekarang jugak! Kalau tak, I tak nak kahwin dengan you!” Desak si gedik.

Adli hela keluhnya dengan berat. Nafasnya ditarik dalam. Terasa berat bibirnya mahu menjelaskan hal sebenar. Dia tahu, silap dia juga kerana betul-betul buat Insyirah jatuh sayang dekat dia. Padahal, dia hanya menuruti kehendak
cinta hatinya saja.

Sempat mata Insyirah menjeling ke arah lingkaran tangan kasar dipinggang Azi itu. Tampak macam sudah biasa tanpa kekok. Langsung membuatkan dia terasa mual. Jadi, Adli bolehlah dianugerahkan pelakon hebat? Kononnya,
begitu arif menjaga batas pergaulan waktu mereka keluar berdua. Malah apabila melihat pasangan kekasih berpegangan tanganpun, Adli membebel sakan. Katanya berdosa. Hebat betul lakonan yang dibuat. Lagi buat dia percaya bila dia selalu diingatkan pasal solat. Kata Adli, tak baik lengah-lengahkan waktu solat. Habis sekarang ni apa? Berpeluk dengan perempuan lain tak berdosa? Hati dan akal Insyirah membentak.

Azi ketawa besar. Seronok betul dia melihat reaksi terperanjat Insyirah. Puas hati dia dapat kenakan musuhnya dari zaman sekolah itu.

“Azi, kan? Kau ni memang suka cari pasal dengan aku sejak sekolah lagi, kan? Apa lagi yang kau tak puas hati dengan aku, hah?”

“Dengar sini, Suraya! Adli ni bakal tunang aku. Bakal suami aku. Kau ingat kau cantik sangat ke, semua boleh terpikat dengan kau? Kau dengar sini elok-elok! Mulai hari ni, jangan cari Adli lagi. Dia hak aku. Aku yang suruh dia pikat kau and then tinggalkan kau. Kau ingat Adli tergila-gilakan kau? Adli cintakan aku la! Dia takkan pandang kau pun!”

Insyirah terkesima. Cepat-cepat riak wajahnya dikawal. Dipandang wajah resah Adli.

‘Kenapa aku rasa macam bodoh sangat sekarang ni? Bergaduh sebab lelaki? Berebutkan lelaki macam Adli? Oh, tidak! Ni bukan aku!’

“Kau ingat aku ni tergila-gilakan lelaki cekeding macam ni? Baik aku pandang tiang elektrik lagi bagus dari mamat bajet smart ni! Dasar spesis semak samun! Hei, go to hell la! Kalau setakat muka 20 sen macam ni, sekali aku petik 100 beratur tau. Tu belum kira 2 kali aku petik.”

Aril sembunyi senyum. Rasa macam nak je dia tepuk tangan kuat-kuat. Tak sangka pula dia dalam suasana macam ni, Insyirah masih lagi boleh membalas ‘pukulan’.

Dia hela nafas.

“Yang you berdua ni datang sini kecoh-kecoh kenapa? I tak suka you ganggu bakal wife I. Both of you tak nampak  Ke kami nak makan ni? Tak pernah belajar adab makan ke apa?” Dia bersuara kemudiannya.

“Bakal wife?” tanya Adli terperanjat. Matanya terbeliak.

Aril mengangguk. “Kenapa? Tak boleh ke kalau kami ni kahwin?”

Azi menghentakkan stilettonya di atas lantai. Dada Adli dipukul. “You cakap, you berjaya buat dia cintakan you? Berani you tipu I? I nak balik! Hantar I balik! Panas!”

Marahnya sambil meninggalkan Adli terkulat-kulat di situ.

“Erk, pakai baju macam pakai bikini je pun boleh panas ke?” perli Insyirah sambil mencebik.

Aril tahan tawa.

~~~

JANGGAL! Perkataan yang tepat dengan situasi mereka sekarang. Insyirah yang selalunya suka berceloteh, Membisu seribu bahasa. Kalau gadis itu mahu menangis, dia sudi pinjamkan bahu tapi janganlah mendiamkan diri Macam ini. Buat dia rasa risau pula. Dia bukannya nak tolong gelakkan atau apa kalau gadis tu nak menangis sakan pun. Dia tahu, tak ada siapa yang boleh bergelak gembira kalau dikhianti cinta.

“Awak sayang dia?” tanya Aril memecah kesunyian. Terselit nada cemburu.

Insyirah mengangguk sambil palingkan kepalanya ke arah lain. “Tapi sekarang tak lagi. Cuma saya sedih dengan diri sendiri sebab tak nampak dan tak boleh nak teka apa yang dia buat pada saya selama ni. Saya ingat dia cakap sibuk, betul-betul sibuk. Rupanya, sibuk dia ada makna tersirat. Membazir je saya sayang dia selama ni.”

Aril garu dahi. Dia sembunyi senyum. Kalaulah mereka bertemu lebih awal, tentu Insyirah tidak perlu merasa sakit
begini. Insyirah tiba-tiba ketawa buat-buat sebelum dia tersenyum.

“Tentu encik fikir, entah apa-apa saya ni, kan? Yelah… konon ada kekasih tapi sebenarnya kena tipu.”

Aril berdeham. “Tak pun. Dan saya tak kisah kalau awak nak cerita apa-apa dekat saya. Saya sudi dengar. Maksud saya, bila kita luahkan apa yang kita rasa tak puas hati, atau apa-apa sekalipun, hati kita ni rasa tenang. Kalau ada masalah pun, akan jadi ringan.”

Aril terbatuk-batuk. Kenapa dia rasa macam pelik je susunan ayat-ayat dia? Kalut semacam pula. Insyirah tidak Menjawab. Dia hanya tersenyum sahaja. Namun jauh di sudut hatinya, terbit rasa sakit dek dipermainkan.

~~~

HARI kian melewati malam. Kelopak matanya kian layu. Suhu penghawa dingin yang mencecah 16áµ’ C  membuatkan seluruh tubuhnya mengigil. Comforter ditarik hingga menutupi muka.

Baru sahaja hendak terbuai dalam dunia mimpi, gajet empat seginya melalak tiba-tiba. Apa lagi, melatah dia tidak ingat dunia.

“Benda alah ni kalau nak menjerit, bagi la salam dulu. Buat orang terkejut je!” Marahnya sambil melihat skrin telefonnya itu.

Adli?

“Assalamualaikum,” ucapnya memberi salam.

“Waalaikummussalam. Ins, abang minta maaf,” pinta Adli tanpa mukadimah.

“Awak bukan abang saya!” Gerutu Insyirah sambil menjulingkan matanya ke atas.

‘Si Adli ni kayu ke apa? Dah main-mainkan aku macam ni, senang-senang nak minta maaf? Ingat aku ni apa? Bongkah ais? Cair bila kena matahari?’ Dia sengih sinis. Ingat lagi dia waktu pertama kali Adli memaksanya memanggil dengan panggilan abang.

“Awak bukan abang saya. Kenapa pulak saya nak panggil awak abang? Sejak bila mommy saya terberanakkan awak?” tanya Insyirah dengan dahi berkerut-kerut.

“Sayang, cuba serius sikit. Abang kan lagi tua dari sayang. Memanglah sayang kena panggil abang.”

Seluruh tubuh Insyirah meremang. Sayang? Abang? Oh, langsung tak tercapai dek akalnya!

“Sayang tahu tak… sayang comel sangat. Part pipi tu memang buat tangan abang rasa nak cubit-cubit je!”

Insyirah lekas-lekas menutup pipinya dengan telapak tangan. Dia menjelir sambil ketawa. Kononnya, berjaya menghalang niat nakal Adli itu.

“Ambil la tukul. Ketuk tangan tu biar tak gatal nak cubit orang!”

“Orang kalau dah tak sayang, sampai tangan kita pun nak ketuk.”

“Suraya? Ins? Ada lagi tak ni?” Perlahan saja intonasi Adli di hujung talian.

Insyirah kembali ke alam nyata. Tubir matanya mula terasa hangat. Kolam matanya bergenang. Pantas diseka. Sayang yang tiada makna. Cinta yang penuh dusta.

“Ada la. Kalau tak ada, dah pindah rumahlah saya,” ujarnya cuba berseloroh. Cuba menyembunyikan sebak yang bergelodak di dalam hati.

“Pindah rumah? Maksudnya?”

“Yelah… ke tiang dua,” jawabnya sambil ketawa yang dibuat-buat.

“Ins, apa cakap macam ni pulak? Abang tak…”

“Awak bukan abang saya. Saya tak ada adik-beradik! Fullstop!

“Hmm… baiklah…” Perlahan lelaki itu menjawab. Mutiara jernih mula mengalir membasahi pipinya. Kenapa masih nak berabang bagai? Kenapa Adli masih tak serik nak permainkan perasaanya?

Dia diam. Membiarkan ruang menjadi bisu seketika. Sisa kekuatan digali sebelum kembali bersuara.

“Hmm… saya tak tahu sama ada patut atau tak saya marahkan awak… tapi please jangan lukakan hati perempuan
lain lagi. Jangan pernah main-mainkan mereka macam apa yang awak buat kat saya ni. Cukuplah, saya sorang je insane malang tu,” nasihatnya jujur. Liurnya ditelan payah.
“Abang minta maaf sangat-sangat. Abang buat macamni sebab ikut apa yang Azi suruh. Abang benar-benar cintakan dia walau macammana sekalipun sikap dia. Teruknya dia, abang boleh terima. Abang doakan sayang pun bahagia.”

“Insya-Allah tapi jangan sesekali panggil perempuan lain sayang sekiranya hati awak tak pernah terlintas menyayangi mereka. Jangan berikan harapan andainya semuanya palsu. Mulai hari ni, jauhkan diri awak dan Azi dari saya. Saya tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan awak berdua.” Insyirah segera mematikan talian.

Comments

Popular posts from this blog

Sketsa Bloggers Chat Room(BCR)

Ulasan Novel Delina, Aku Antropomorfik oleh Kak Ogy

Bab 10 Novel Couple 3 Suku