Bab 8 Novel Couple 3 Suku



INSYIRAH berjalan perlahan-lahan keluar dari perkarangan balai polis. Lengan t-shirt Aril dipegangnya dengan jemari yang masih terketar-ketar.

Aril tumpah kasihan. Ikutkan hati, rasa macam mahu sahaja gadis itu didakap. Dipeluk agar ketakutan sedari tadi beransur tenang.

“Cik!” Panggil Haris sedikit kuat.

Insyirah pura-pura tidak dengar. Langkahnya dipercepat. Lengan baju Aril ditarik kuat agar mengekori langkahnya.

“Encik Aril, tolong bawa saya cepat-cepat keluar dari sini. Saya tak nak tengok muka dia lagi,” rayunya berbaur tangisan.

“Encik! Cik!” Panggil lelaki itu lagi.

Aril menghentikan langkahnya. Wajah pucat dan lesu Insyirah ditatap penuh kasih. Insyirah menggeleng. Kelopak matanya dikerdip.

“Percayakan saya,” pinta Aril seraya menghadap Haris yang semakin menghampiri. Dia pamer wajah tenang.

“Apa hal, bro? Aku tak banyak cekadak cekodok pun dah cukup baik tau. Kau nak apa? Aku tak nak kau libatkan bakal bini aku ni lagi. Dan aku tak nak kau muncul depan bakal bini aku ni lagi. Aku dapat tahu kau kacau dia lagi, siap kau aku cincang lumat!”

“Aku minta maaf libatkan bakal bini kau. Aku tak sengaja. Aku tahu silap aku…”

“Cukup!” Jerit Insyirah tanpa sedar seraya berlari ke arah Honda hitam milik Aril.

Aril terdiam. Ekor matanya menghantar gerak langkah gadis kesayangannya itu. Bahu Haris ditepuk dua tiga kali. Tiada lagi bicara buat mereka.

Haris diserang rasa bersalah yang menggila. Selagi maafnya tidak diterima selagi itu gadis itu akan diburunya. Dia sudah bertekad.

Aril hela keluh berat. Kakinya menapak ke arah kereta.
~~~
ARIL membelok keretanya ke kiri. Memasuki deret-deret kedai makan. Perut yang sedari tadi berkeroncong menjerit kelaparan perlu dipenuhi tuntutan.

“Saya nak balik. Tolong hantar saya balik.” Sayu suara Insyirah.

“Kita makan dulu. Kejap lagi, saya hantar awak balik.”

“Saya nak balik, Encik Aril.”

“Kita makan dulu, ya?”

Insyirah tergeleng-geleng. “Saya takut.”

“Shh... saya kan ada? Saya akan lindungi awak.” Aril memujuk lembut.

“Betul encik akan lindungi saya?”

“Ya, saya akan lindungi awak sebagaimana saya lindungi diri saya.”

Insyirah dihurung sebak. Kalau Aril tiada tadi tentu maruahnya sudah hilang. Dia terhutang budi. Peristiwa hitam tadi bagaikan berulang tayang di matanya. Detik-detik sebelum lelaki itu datang menyelamat seakan mengejeknya.

Kepalanya digeleng-geleng laju. Tidak mahu mengingatinya lagi.

“Janji lepas ni terus hantar saya balik?”

“Ya, sayang. Lepas ni, saya terus hantar awak balik.”

“Encik Aril…”

“Suraya, Aril je please? Tak perlu berencik-encik.”
“Tapi…”

“No tapi-tapi. Saya ikhlas. Ikhlas nak berkawan dengan awak. Nak kenal dengan awak.”

“Jangan paksa saya, encik.”

“Encik lagi! Hmm... suka hati awaklah.” Nada Aril seakan merajuk.

Insyirah mengeluh. Pandangannya dihala ke luar. Memandang ke arah tiang-tiang elektrik yang tegak berdiri. Perasaan dan jiwanya bercelaru.


Comments

Popular posts from this blog

Sketsa Bloggers Chat Room(BCR)

Bab 10 Novel Couple 3 Suku

SOUL & LIFE AFTER DEATH