Bab 9 Novel Couple 3 Suku



SUDAH tiga hari dia tidak menerima apa-apa perkhabaran daripada Insyirah. Gadis itu bagaikan menyepi terus. Telefon tak dijawab. SMS mahupun Whatsapp tak dibalas. Dia jadi walang. Kalaulah Aimi masih bekerja dengannya, bolehlah dibawa wanita itu temankan dia melawat Insyirah. Sekarang, wanita itu sudah berhenti kerja. Hendak dibawa staf wanita yang lain bimbang kecoh jadinya. Maklumlah, semuanya kaki kepoh. Asyik bergosip tak tahu hujung pangkal.
~~~

INSYIRAH terbaring lemah di atas katil. Badannya terasa sejuk amat. Kepala pening. Tekaknya mual. Hendak berdiri pun dia tidak larat. Apatah lagi hendak pergi bekerja. Insyirah mengeluh lemah. Kalaulah Encik Yusri dan Puan Yusra ada tentu tidak jadi masalah. Tentu dirinya dimanjai dan diberikan perhatian bagai anak kecil. Inilah yang selalu Nek Natipah risaukan. Bimbang dirinya ditinggalkan bersendirian. Kalaulah Nek Natipah mahupun Atuk Adnan dapat ahu dia sakit terlantar tanpa mommy dan daddy di sisi tentu teruk mereka membebel.
~~~

“KAMU ni tak menyempat balik ke rumah ke?” sergah Syarifah Marlia.

“Bukan tak menyempat, ma tapi menantu mama tulah. Tak tahu pengsan ke apa. Dah tiga hari tak masuk ofis. Ril risau. Marilah temankan Ril pergi rumah dia,” luah Aril resah.

“Kamu biar betul?”

“Yelah. Buat apa Ril nak kelentong mama? Bukan boleh kayapun.”

“Ish, budak ni! Cepat balik ambil mama. Kita pergi sama-sama. Entah apa cerita menantu mama tu. Dah-dah! Mama nak pergi bersiap. Assalamualaikum.”

“Waalaikummusalam.”

Talian dimatikan. Kunci kereta dicapai. Aril berlalu keluar.

“Kenapa dengan Encik Aril tu?”

“Entah. Risau tak bertempat Encik Aril tu dalam dua tiga hari ni. Yelah, buah hati tersayang dia tu tak datang kerja. Rindulah kut.”

Menggeleng-geleng perlahan Aril mendengar kata-kata pekerjanya. Payah betul kalau lekat tabiat suka jaga tepi kain orang ni.
~~~

“KENAPA dengan menantu awak tu, Mar?” soal Megat Hanif seraya menanggalkan cermin matanya. Bebola matanya dah naik berpinar dek asyik menghadap komputer ribanya. Lama.

“Saya bimbang Suraya sakit, bang. Mak ayah dia tu selalu outstation sampai ke luar negara. Risau saya jadinya.” Syarifah Marlia gelisah.

“Anak awak tu pun satu hal. Apa lagilah yang dia tunggu? Masuk meminang jelah si Suraya tu. Kalau orang lain kebas, meroyan tak sudah.”

“Ish, mulut abang ni! Betul-betul kena kebas kempunan saya nak buat menantu!”

Megat Hanif ketawa geli hati. Saja je dia menyakat sebenarnya. “Awak tu jangan bersiap lama sangat! Jangan lupa suruh Aril telefon Doktor Azlina. Minta dia pergi sekali nanti.” Tahu sangat dengan perangai Syarifah Marlia. Bersiap bukan pandai sekejap. Kalau tak mencecah satu jam tak sah. Tak tahulah apa yang dbuatnya.

“Telefon doktor buat apa? Siapa pulak yang sakit?” soal Syarifah Marlia dengan mulut ternganga.

“Menantu awak tulah. Mungkin sakit tak boleh bangun. Tu pasal tak boleh pergi kerja.”

“Yelah. Nanti saya call.”

BUNYI loceng bertalu-talu memaksa Insyirah bangun berdiri. Langkahnya terhuyung-hayang memaksanya menekan dinding. Pandangannya berpinar. Kepalanya pantas digeleng laju. Tombol pintu rumahnya dipulas. Bayang wajah Syarifah Marlia dan Megat Hanif di muka pintu nampak berbayang dua. Badannya terasa ringan. Pitam!

“Suraya!” Pantas Aril menyambut tubuh kurus kering itu daripada melayang menghempap lantai.

“Cepat bawa pergi ke hospital!” Syarifah Marlia cemas.

“Baringkan aje atas sofa tu, Ril,” arah Megat Hanif tenang.

Syarifah Marlia beliakkan matanya. Dia mencekak pinggang. “Kita kena hantar ke hospital. badan menantu kita ni panas sangat ni, bang.”

Megat Hanif tergeleng-geleng melihat telatah isterinya yang panik. Doktor Azlina yang turut hadir bersama lekas sahaja menjalankan kerjanya.

Aril berjalan mundar-mandir. Wajah tak bermaya Insyirah betul-betul membuatkan dirinya turut lemah. Mahu sahaja didukung gadis itu ke hospital. Berehat di sana.

Syarifah Marlia cerlung doktor peribadi keluarga mereka itu macam hendak telan. Risau benar kalau doktor itu tidak merawat calon menantu pilihannya dengan baik. Dah mengalahkan anak sendiri saja lagaknya. Aril sakitpun tak adalah sampai macam tu sekali tingkah paniknya.

Megat Hanif tepuk bahu Syarifah Marlia lembut. Cuba menenangkan rasa risau di hati isterinya itu. Dan mereka saling memandang sesama sendiri.

Aril terbuntang biji mata. Boleh pula mama dan papanya bercekerama saat begini? Terfikir juga dia, agaknya bila dia baru berani meluahkan perasaan pada Suraya?

Comments

Popular posts from this blog

Sketsa Bloggers Chat Room(BCR)

Bab 10 Novel Couple 3 Suku

Hanya Aku! Novel terbaru KaryaSeni/Penulisan2u