Bab 10 Novel Couple 3 Suku






KAKINYA menghayun buaian dengan perlahan. Teringat perbuatan nakalnya, Aril sengih sendiri sehingga menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun elok. Sengaja dia membiarkan rambutnya berterbangan ditiup angin. Sengaja dia membiarkan angin menyapa pipinya.

Akaun Facebook Insyirah sudah digodam. Diletaknya status bertunang dengannya. Senyumannya melebar apabila dia bayangkan, kalaulah dia sudah mengahwini Insyirah nanti, waktu begini, gadis itu datang dan duduk di sebelah dan bermanja dengannya.

Auch! Indah sekali.

Megat Hanif jungkit kening. ‘Apa hal tersengih-sengih macam orang tak betul tu?’

Sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar. Megat Hanif lurut cermin matanya ke bawah, melihat gerangan yang datang. Tanpa dijemput, lelaki itu melangkah masuk ke dalam. Dan sebelum sempat dia yang bangun, anaknya terlebih dahulu menghampiri tetamu itu.

“Encik cari sapa ye?” soal Aril seraya memerhati gerak-geri jejaka itu. Berlagak pula dengan gaya berkaca mata hitam dan kereta Mercedes hitam pekatnya. Sudahlah biadap betul. Langsung tak bersalaman dengan dia dan papanya.

“Dah kat rumah orang mestilah nak cari orang. Kalau cari kambing, mestilah kat kandang kambing.” Nada jejaka itu
bongkak sekali.

“Kerek pulak mamat ni! Entah bangla jual karpet mana datang rumah bakal bini aku ni,” gumam Aril perlahan seraya mencebik.

“Eh! Kau nak ke mana ni?” bengangnya tiba-tiba apabila lelaki itu berkira-kira mahu masuk ke dalam rumah.

“Masuk dalamlah!”

Panas telinga Aril mendengar jawapan selamba itu.

“Kau ingat ni rumah bini kau?”

“Dah tu, ni rumah bini kau?”

Soalan berbalas soalan. Perang mulut tercetus.

“Memanglah bukan bini aku tapi kau ni tak ada adat ke? Ni rumah perempuan. Mana boleh kau sesuka hati masuk. Mak bapak kau tak ajar ke?” perli Aril.

Tajam mata lelaki itu memandang ke arah Megat Hanif dan Aril.

“Mulut kau tu jaga sikit! Mak bapak jangan campur. Aku tak suka. Lagi satu, untuk pengetahuan kau, rumah ni awek aku yang punya. Jadi, apakehal kau nak menyibuk macam rumah ni bapak kau punya?”

Terbatuk Megat Hanif mendengar perbualan kedua-duanya. Aril jungkit kening. Sejak bila pulak si Suraya tu bercinta dengan orang lain? Bukan selama ini, gadis tu berkepit dengan dia je ke?

“Hah! Kau pulak dengar sini! Ni memang bukan rumah bapak aku… tapi ni rumah bakal bapak mentua aku. Dan untuk pengetahuan kau, aku ni bakal suami kepada Insyirah. Jadi, apakehal kau nak menyibuk dalam urusan bakal bini aku?”

Dengan bongkak Aril memberitahu. Sebijik terkena ke batang hidung lelaki itu. Nampak sangat dia terlopong. Terkejut sakan gayanya.

“Hah? Tunang? Since bila Insyirah bertunang? Setahu aku, dia boyfriend pun tak ada.”

“Itulah kamu. Orang muda… main redah je,” sampuk Megat Hanif lembut.

Lebar senyuman Aril apabila Megat Hanif seperti memihaknya.

“Er... pak cik ni ayah Insyirah ke?” soal lelaki itu tergagap-gagap. Tadi, bukan kemain berlagak lagi.

“Kalau pak cik ni ayah si Insyirah tu... dengan macam ni perangai kau, pak cik pun tak teringin nak buat menantu. Sedap betul kau berbapak-bapak tadi eh? Dah-dah! Pergi balik!” Halau Megat Hanif.

Terpisat-pisat, lelaki itu mengatur langkah. Wajahnya berbahang. Malu.

“Makan maggi extra pedas, ada hari aku balas!” Sempat lagi dia berpantun.

“Makan banyak sakit perut, kau ingat aku takut?” Aril balas selamba.

Melihat muka si kerek seperti ayam berak kapur, Aril ketawa mengejek. Sengaja dia melempar pandangan pergi lelaki itu dengan penuh sinis.

“Apa yang bising-bising kat luar tu? Kecoh je bunyinya,” laung Syarifah Marlia seraya mencari periuk kecil di dalam kabinet dapur.

“Tak ada apa-apalah, ma!” Aril jawab sedikit kuat.

“Nanti pergi beli ayam. Mama nak masak bubur ayam.

Ayam dah habis kat dapur ni.” Syarifah Marlia meminta tolong seraya berjalan ke luar rumah. Rajin betul dia masak untuk bakal menantu. Padahal, kat rumah, masuk dapur pun jarang-jarang sekali. Nak apa-apa pakai laung je suruh bibik yang buat.

“Pandai ke mama masak? Aish! Jangan terlebih garam, kan kempunan Ril nak kahwin dengan my sweetheart tu,  pa.” Aril berkata perlahan. Bimbang didengari dek ibunya.

“Tak pun, nak taruk gula pi taruk garam,” tambah Megat Hanif sebelum kedua-dua beranak itu mengekek. Jemari kasar Aril dikerling seraya digerak-gerakkan. Lagak mengira berapa kali sepanjang hidupnya wanita bernama Syarifah Marlia itu memasak. Entah-entah, masak nasi pun mungkin akan jadi bubur.

Aril tampar mulut sendiri. Anak jenis apa ni? Kutuk mama sendiri?

“Ril! Dengar tak apa yang mama suruh tadi?” tanya Syarifah Marlia dengan tangan bercekak pinggang.

Tawa kedua-dua lelaki itu mati tiba-tiba. Macam mana boleh tak sedar mamanya muncul ni?

“Yang awak ni bang, kenapa? Terkekeh ketawa segala bagai ni?”

Aril kalih pandang. Tengok Syarifah Marlia atas ke bawah. Dari bawah ke atas. Dengan apron Angry Bird siap dengan topi chef bentuk burung biru, si Rio Angry Bird itu membuatkan Aril tutup mulut menahan tawa.

“Mama, super duper kelakarlah!”

Syarifah Marlia mencerlung. “Budak ni!”

Megat Hanif hambur tawa. Lawak habis bininya seorang ni.

“Abang!”

Melihat si papa yang ketawa dah mengalahkan langsuir menjerit, si anak apa lagi, macam dah putus urat perut ketawa terbahak-bahak.

Insyirah sentuh dahinya yang masih lagi terasa bahang panas. Suara gelak tawa Aril dari tingkat bawah jelas kedengaran. Insyirah mengeluh. Pasti mereka datang lagi untuk menjaganya. Dia hela nafas berat. Kali ini, dia betul-betul menyusahkan mereka anak-beranak. Setiap hari terpaksa datang menjaga makan minumnya. Bukannya dia tak melarang tapi Syarifah Marlia sayang benar padanya. Risau sangat bakal menantunya ini sakit terlentang. Nak tak nak, digagahkan juga dirinya bangun berdiri. Wajahnya sedaya-upaya dimimik manis supaya nampak segar bermaya.

Kakinya menapak menuruni anak-anak tangga langkah demi langkah. Sesekali berbayang dua tangga di matanya. Lekas sahaja dia menggeleng laju.

“Jangan la gelak kuat sangat! Terjaga menantu mama tu nanti.” Syarifah Marlia letak jari telunjuknya di bibir mulut. Isyarat supaya diam.

“Kalau terjaga biar jelah Ril yang jaga.” Aril sengaja menyakat mamanya.

“Banyak cantik muka kamu? Orang suruh masuk meminang tak mahu!”

“Ril ni tak cantik, ma. Handsome je. Ala ma, bukan Ril tak nak tapi sabar dulu…” rengek Aril. Anak matanya tiba-tiba terpandang Insyirah yang sedang berpegang kemas pada kayu penghadang di tangga.

“Kenapa awak turun? Kan tak sihat lagi? Saya papah awak naik ke atas ya?” risaunya segera mendapatkan gadis
itu.

Insyirah menggeleng laju.

“Saya dah sihatlah,” balasnya lemah.

“Sihat apanya ni, nak berjalan pun tak larat,” sampuk Syarifah Marlia tidak puas hati.

“Budak tu dah rimas asyik terperap je kat atas. Tu yang paksa diri turun.” Megat Hanif yang baru masuk ke dalam
rumah pula mencelah.

Aril cuba menyentuh pergelangan tangan Insyirah. Cuba membantu. Niatnya mati apabila gadis itu menjarakkan
sedikit darinya. Aril faham. Dia tahu, Insyirah memang tidak suka disentuhi oleh mana-mana lelaki bukan mahram. Untung betul kalau sesiapa berjaya menjadikannya isteri. Pandai menjaga maruah diri.

Megat Hanif labuh punggung di atas kerusi jati.

“Awak tu tercegat buat apa? Ambilkan la air untuk si Suraya ni,” arahnya apabila melihat Insyirah seakan keletihan.

“Tak pelah, puan. Saya boleh ambil sendiri. Tak haus pun,” jawab Insyirah serba salah.

“Apa pulak puan-puan ni? Panggil mamalah!”

Pipi Insyirah memerah. Terasa tebal kulit pipinya apabila melihat Aril tersipu-sipu senyum.

Mendengar bunyi bising secara tiba-tiba dari luar pagar, Aril curiga.

‘Mamat kerek tadi datang nak balas dendam ke apa?’ monolognya sendiri.

“Bising apa kat luar tu?” tegur Megat Hanif yang turut menyedarinya.

Insyirah tepuk dahi. Lehernya dipanjangkan ke luar.

‘Tak lain tak bukan, Nek Natipah dengan Atuk Adnan datang serentak lagilah tu. Asyik bergaduh je mereka berdua tu. Datang kalau tak bertengkar memang tak sah. Aku nikah jugak mak mommy dengan ayah daddy ni!’

“Mana boleh! Saya dululah, orang tua!” Jerit Nek Natipah tak puas hati.

“E’eh, awak ingat awak muda sangat? Sini berkedut, sana berkedut!” Tuk Adnan tidak mahu kalah.

“Saya tua, hah? Saya ni kalau time anak dara dulu ratu kebaya, awak tau?”

“Ingat saya heran dengan ratu kebaya awak tu? Dah tua, kerepot juga! Dah-dah! Saya nak masuk dalam nak jumpa
cucu kesayangan saya.”

“Cucu kesayangan sayalah! Yang awak datang sama waktu dengan saya ni kenapa?”

“Hei, awak tu yang tiru saya!”

“Awaklah yang tiru saya! Tadi, awak tahu saya berkemas barang-barang nak datang sini, awakpun datang jugak kenapa?”

“Manalah saya tahu awak nak datang sini. Kalau saya tahu, sayapun tak hingin!”

Nek Natipah berebut-rebut dengan Tuk Adnan. Dah gaya macam budak-budak saja mereka itu. Berlumba siapa masuk dulu ke dalam rumah.

“Saya dululah!”

“Saya dulu. Ladies first!”

Megat Hanif dan Syarifah Marlia tercengang. Aril garu belakang leher dengan lirik mata-siapa-mereka-ni?

“Nenek, Atuk!” Jerit Insyirah pura-pura teruja. Sengaja diriakkan wajah gembira. Badannya yang lemah cuba dibuat
lagak segar.

Syarifah Marlia sekadar berdiri jadi penonton.

“Ins sayang, cucu atuk!”

“Ins bucuk-bucuk, cucu nenek!”

“Sibuklah awak, cucu sayalah!”

“Cucu saya!”

Segan pula Insyirah dengan perangai kebudakan atuk dan neneknya apabila tingkah laku mereka diperhatikan Syarifah Marlia sekeluarga.

Baru sahaja dia mahu melangkah mendekati kedua-duanya, kepalanya seperti berpusing-pusing. Pandangannya
berpinar. Langkahnya mati. Mujur dia sempat berpaut pada lengan sasa Aril.

“Awak tu tak sihat lagi. Degil betul. Duduk sini!” Arah Aril seraya memaksa gadis itu duduk di atas kerusi.

Insyirah mengeluh.

“Cucu nenek tak sihat ke?” kalut Nek Natipah bertanya. Dia menyentuh wajah pucat cucunya. Tumpah rasa kasihan.

Tuk Adnan juga risau tapi matanya lebih tertarik melihat wajah-wajah asing yang turut berada di situ. Megat Hanif bangun, menyalami Tuk Adnan. Diikuti Aril. Syarifah Marlia menghampiri Nek Natijah. Mencium tangan wanita tua bergelar nenek itu.

“Saya Marlia. Ini suami saya, Hanif dan yang tu anak lelaki kami, Aril. Kami datang ni pun nak tengok-tengokkan si
Suraya ni,” perkenal Syarifah Marlia lembut.

“Alhamdulillah, ada jugak yang sudi tengokkan cucu kami ni. Hmm... mommy dengan daddy kamu mana, Ins?”

Insyirah buat-buat garu kepala. Fahamlah Nek Natipah bahawa cucu kesayangannya itu ditinggalkan sendirian lagi.

“Sudah! Panggil dia orang balik sekarang!” Arah Nek Natipah tiba-tiba.

Tersentak Syarifah Marlia tiga beranak. “Mak ooi, garangnya!”

Kecut perut Aril jadinya. Manakan tidak, menyinga betul orang tua tu bila tahu anak menantunya tiada di rumah.

“Cucu aku sakitpun boleh mereka keluar lagi?” bebel Tuk Adnan pula. Pantas sahaja tangannya menghubungi Encik
Yusri.

Insyirah pejam matanya rapat. Kalau dengar Tuk Adnan dengan Nek Natipah membebel sampai esok pun tak sudah lagi. Lagipun, dia dah biasa sakit terlentang seorang diri.

“Hah! Kamu tu tak reti-reti nak balik rumah? Anak sakit dah belum sampai tahap nazak je ni takpun kamu nak tunggu anak dah tak ada baru nak balik? Lawat kubur?” jerkah Atuk Adnan sebaik sahaja panggilannya disambut.
Aril yang mendengar terkebil-kebil.

‘Atuk dengan nenek sama garang. Aduhai, macam manalah aku nak mengorat cucu dia orang ni? Kalau aku ngorat atuk ngan nenek dulu kira aci tak?’ Aril berkira-kira sendiri.

Nek Natipah labuh punggung bersebelahan cucunya. Insyirah sandar kepalanya manja ke bahu si nenek. Nek Natipah rasa hendak menangis pun ada. Sampai hati betul anak menantunya tinggalkan cucu dia sorang-sorang. Kalau berlaku apa-apa siapa yang nak bertanggungjawab? Kalau perompak masuk masa cucu dia jatuh sakit macam ni? Kalau perogol masuk? Fikiran Nek Natipah mula dihurung kemungkinan. Dia memeluk cucunya itu. Berkali-kali ubun-ubun itu dikucupnya.

“Balik aku kata!” Arah Tuk Adnan sebelum mematikan talian.

Comments

Popular posts from this blog

Sketsa Bloggers Chat Room(BCR)

Hanya Aku! Novel terbaru KaryaSeni/Penulisan2u