Bab 2 Novel Couple 3 Suku

AWAL-AWAL lagi Insyirah sudah bertolak ke tempat kerja. Memang dialah manusia pertama yang menjejakkan kaki ke pejabat. Alasannya mudah. Duduk kat rumah pun siapa yang ada? Dia dengan perabot-perabot serta dinding sahajalah di situ. Kalau mereka boleh bercakap, dah lama bagitahu yang mereka dah muak tengok dia saja yang ada dalam rumah tu agaknya. Puan Yusra dan Encik Yusri sekejap ke Afrika, sekejap ke London, nanti ke India pula. Sibuk benar Encik Yusri dengan urusan penyelidikannya yang pelik-pelik itu.

“Pakai baju kancinglah suasa, pakai mari babalah Melaka, biar saya rosaklah binasa, kerana dia tidak mengapa. Dari mana mahulah ke mana? Sayang Che’ Mamat menjual padi, dari mana mahulah ke mana? Sayang Che’ Mamat menjual padi." Rancak sekali dia menyanyi lagu Memikat Hati nyanyian R. Azmi seraya kaki melangkah ke pantri. Muk bertelinga arnab dibawa ke pili. Dibilas sebelum sebungkus Nescafe 3 in 1 dikacau bersama air didih. Badannya digoyang-goyang mengikut rentak lagu.

“Cantiklah pun tidak sebagailah mana, sudah tersemat di dalam hati, pakai baju kandinglah suasa, pakai mari babalah Melaka, biar saya rosaklah binasa, kerana dia tidaklah mengapa.” Aroma Nescafe yang memenuhi ruang pantri begitu menyegarkan. Wap Nescafe yang berkepul-kepul menggoncangkan nafsu tekaknya. Tidak sabar mahu
menghirup. Insyirah tersenyum sendirian dengan mulut kecilnya masih lagi rancak dengan siulan lagu.

“Pucuk pauh di atas batu, anak sembilang di tapak tangan, pucuk pauh di atas batu, anak sembilang di tapak tangan.” Insyirah senyum sendiri.

“Fuh! Ponat eden nyanyi! Ni kalau praktis hari-hari, mau masuk AF terus jadi juara ni!” Badannya terus digerak-gerak kononnya menari. Ralit betul dia sehinggakan pejabat dimasuki orangpun, dia tidak sedar.

“Ceh, angkat bakul betul! Perasan la dia ni! Suara macam katak panggil hujan je. Nyanyi lirik lagu pun tak betul,” omel satu suara tiba-tiba.

“Aik, mamat tak cukup umur mana bercakap ni? Rasanya, aku sorang-sorang je kat sini. Hmm... lantaklah! Apa-apa jelah!” Gumam Insyirah perlahan. Muk arnabnya diangkat lalu mengatur langkah keluar.

“Kalau tak cukup umur, ambil pen tambahkan angka kat belakang,” sakat Aril sebaik sahaja muncul betul-betul di hadapan Insyirah.

“Eh, terjatuh!” Terlucut muk di tangan. Bunyi muk pecah berderai berbaur suasana gamat dek gelak sakan Aril. Insyirah picingkan mata. Merenung tajam ke arah lelaki asing di hadapannya itu.

“Sudahlah masuk tak bagi salam, boleh pulak lepas dah pecahkan muk comel ni… ketawa tak ingat dunia. Apa dia ingat ni hari ketawa sedunia ke?” omel Insyirah perlahan.

“Tak sangka orang muda pun melatah,” balas Aril seraya tayang sengih; reaksi tidak bersalah.

“Huh, bukannya reti nak minta maaf! Mengata pulak. Tak kelakar langsung pun,” keluh si gadis perlahan. Tawa Aril terhenti. Rasa bersalah menghuni dirinya.

“Sorry .. .”

“Sorry masak kari, pergilah melantak sendiri!” Insyirah  terus membara. Muk arnah tu muk favourite dia, macam mana dia tak marah?

“Makan kari dengan mi kari best jugak. Awak masak mi kari ke pagi ni? Nak sikit,” seloroh Aril. Memancing riak cemberut Insyirah.

“Maaflah, encik! Salesman tak dibenarkan masuk ke sini. Saya ni nak menghalau pun macam kasar pulak. Rasanya elok encik dengan segala hormatnya dipersilakan keluar, ya?”

‘Erk! Salesman? Rupa aku punya la kacak bergaya persis idaman Malaya dibantainya salesman?’ omel akal Aril sambil memandang diri sendiri. ‘Oh! Mesti sebab aku pakai kemeja putih lengan panjang dengan slack hitam ni. Siap tie dengan beg James Bond bagai. Fuh! Padanlah minah ni cakap aku salesman.’

“Oh… Cik…?”

“Ceh, gaya zaman P. Ramlee nak tahu nama la tu…” gumam Insyirah perlahan. “Sorrylah, encik… saya tak boleh tunjukkan jalan keluar tapi kalau encik nak mudah, encik jalan mengundur je dari sini sampai ke muka pintu. Mesti encik ingat jalannya kalau berjalan mengundur, kan?” sambungnya.

Pecah tawa si jejaka.

‘Papa, minah mana papa culik jadi PA Aril ni? Pecah perutlah Aril kalau macam ni hari-hari,’ gelak Aril dalam hati.

“Saraf gelak encik dah terputus ke? Or ada wayar kat mana-mana yang tak bersambung?” Mata Insyirah difokuskan ke arah pemilik wajah tampan di hadapannya itu.

‘Err… tak de rupa salesman pun mamat ni,’ desis hatinya.

“Macam nilah, encik. Encik jalan straight lepas tu turun lif. Lepas tu encik jalan lagi, jumpa longkang, encik jangan terjun kat dalam tu. Encik jalan lagi sampai jumpa kedai hardware. Kat situ ada playar, spanar. Encik beli, betulkan fius kat saraf tu.” Makin mengekek ketawa Aril. Ditekan-tekan perut yang kian terasa senaknya.

“Okey-okey cukup! Tak larat saya nak ketawa. Adoilah! Megat Hanif ada bagitahu tak pasal saya?”

“Kenapa dia nak bagitahu pasal encik pulak?”

“Dia tak ada bagitahu nama bos awak ke?”

“Apasal saya kena bagitahu encik pulak?” Insyirah buat muka garang sambil kedua-dua belah tangannya bercekak pinggang dengan matanya sengaja dibeliakkan. Mata Aril menjamah rakus wajah manja si gadis. Sedikitpun tidak terkesan dengan ekspresi ‘menakutkan’ gadis itu. Dengan alis mata menggoda tanpa solekan tebal di wajah, matanya seakan dipaku untuk terus-menerus menatap wajah itu. Pandangan matanya turun pula ke bibir seksi itu sehingga gugup gadis berkebaya ungu itu dibuatnya.

‘Seram pulak mamat ni! Tengok orang macam nak telan. Apa? Dia belum bersarapan ke tadi? Ingat aku ni ayam panggang? Tak pun mi soto?’

“Comel sangat ke saya ni?” soal Insyirah selamba.

“Comel!” Puji Aril tanpa sedar.

“Hah?”

“Erkk, tak! Baju awak, comel!” Aril tersengih-sengih.

“Oh, saya beli kat pasar malam je. Dua seringgit,” balas Insyirah sambil membuat mata bosan.

“Sudahlah! Saya nak start buat kerja dah. Bye!”

“Before..”

“Terima kasih jelah kat be four ke… be five ke… saya tak berminat. Kerja saya dah panggil.”

‘Comelnya minah ni! Papa, Aril nak yang ni!’ Aril tersenyum lebar. Telapak tangannya dibawa ke dada. Dilekapkan dekat dengan jantung. Cuba merasai debaran. Dia sengih bak kerang busuk pula kemudiannya.

“ADA apa?” soal Insyirah acuh tak acuh apabila interkomnya berbunyi.

“Bos minta Cik Suraya masuk ke biliknya sekarang.”

‘Hmm bos ni… orang banyak kerja ni!’

Fail berkulit tebal ditutupnya. Dicapai memo stick warna kuning yang memang tersedia di atas meja sebelum melangkah keluar.

“Ya, bos. Bos panggil saya?” soalnya sopan sambil melayangkan senyuman manis.

“Eh, Encik Salesman ni tak balik lagi?” Spontan dia soal apabila si salesman tampan tadi ada di dalam bilik majikannya.

Terkekeh Megat Hanif dan Aril ketawa. Geli hati dengan telatah Insyirah itu.

“Excuse me, bos. Urat saraf gelak bos pun ada masalah jugak ke?” soalnya spontan.

Makin berderai tawa dua beranak itu jadinya.

“Putus urat perut Aril jadinya kalau hari-hari macam ni, pa. Alahai, mana papa culik dia ni?”

“Papa?” soal Insyirah dengan dahi berkerut-kerut. Mulutnya sudah ternganga luas.

“Sebenarnya, ni anak lelaki saya yang saya bagitau hari tu, Aril inilah bos kamu tu. Memandangkan saya pun dah tua… dah letih nak bekerja, jadinya saya buat keputusan nak berehat kat rumah je. Biar Aril pula yang uruskan syarikat ni.”

Erk! Anak bos?
Bukan salesman?
Mati aku! Malu!

Comments

Popular posts from this blog

Sketsa Bloggers Chat Room(BCR)

Bab 10 Novel Couple 3 Suku

SOUL & LIFE AFTER DEATH